Friday, June 18, 2010

Sejarah Pertubuhan Silat Seni Gayong (M), Gelanggang Harimau Belian, Kampung Medan.

“Keris ditangan berlumur darah, 
Jangan dilupa warisan sejarah.”

Bukan mudah bagi membina mahupun membangunkan sesuatu tempat atau pertubuhan. Begitulah juga dengan Tuan Haji Jaafar Jamaludin PJK apabila beliau terpaksa mempertahankan apa yang beliau mulakan agar warisan yang ada masih tetap boleh dinikmati oleh anak muda masa sekarang.
Berbekalkan semangat dan kecekalan hati beliau, beliau telah menggunakan pengalaman yang ada untuk menubuhkan sebuah pertubuhan yang di kenali sebagai Pertubuhan Silat Seni Gayong (M), Gelanggang Harimau Belian, Kampung Medan. Maka secara tidak langsung, beliau merupakan tulang belakang yang paling utama di dalam pertubuhan ini. Kuasa masih di tangan beliau sehingga kini agar tidak berlakunya perpecahan yang tidak diingi di dalam pertubuhan ini.
Sepanjang tempoh beliau menjadi jurulatih silat, beliau telah membina hampir tujuh gelanggang bagi mempertahankan warisan dan ilmu yang beliau miliki. Pada permulaan pertubuhan silat ini, beliau telah mendirikan sebuah gelanggang yang hanya berdindingkan buluh dan mengggunakan lampu minyak tanah. Namun beliau telah berusaha memperbaharui gelanggang tersebut dengan menggantikan dinding buluh tersebut dengan atap nipah.
Cekal dan tekad, beliau terus berusaha bagi memberikan keselesaan pada anak murid yang mempelajari ilmu persilatan dengan menukarkan dinding sedia ada dengan getah yang berwarna hitam. Hari berganti hari, pembaharui masih dijalankan apabila beliau akhirnya berjaya menukarkan dinding gerah tersebut dengan dinding zink. Namun disangkakan panas sehingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
Pada tahun 2004, Gelanggang Harimau Belian, Kampung Medan di arahkan untuk berpindah kerana dikatakan gelanggang haram apabila gelanggang tersebut berada di atas tanah rizab kerajaan. Gelanggang sedia ada tersebut terpaksa ditutup selama setahun kerana tidak mempunyai tanah untuk didirikan sebuah gelanggang. Kegigihan Tuan Haji Jaafar Jamaludin PJK dalam memperjuangkan ilmu persilatannya telah membuahkan hasil.
Beliau telah membuat permohonan kepada pejabat daerah agar diberikan sebidang tanah untuk dibangunkan sebuah gelanggang silat. Permohonan beliau telah diluluskan namun bersyarat. Beliau telah diberi syarat supaya membayar deposit sebanyak RM 5000 dan membayar RM 1000 setiap tahun. Tuan Haji Jaafar Jamaludin telah berusaha untuk membayar deposit tersebut. Namun, beliau tidak mampu untuk membayar RM 1000 setiap tahun kerana kebanyakkan ahli silat tidak menjelaskan yuran seperti yang ditetapkan.
Beliau telah berjumpa dengan Menteri Besar Selangor untuk memohon agar gelanggang tersebut diberi secara percuma. Berkat skesabaran beliau, permohonan beliau diluluskan tanpa syarat. Pada tahun 2005, Gelanggang Harimau Belian, Kampung Medan mula didirikan semula sehinggalah ke hari ini yang mana gelanggang tersebut sedang di ubah suai buat masa sekarang.

0 comments:

Post a Comment

Sila Tinggalkan Nasihat Anda: