Wednesday, June 16, 2010

Penubuhan Malayan Union


      Umumnya, 64 tahun dahulu, pentadbiran Malayan Union telah diisytiharkan oleh British pada  1 April 1946 di King’s House yang kini dikenali sebagai Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur. Pada waktu itu, gabenor pertamanya ialah Sir Edward Gent. Malayan Union telah menggantikan Pentadbiran Tentera British yang sebelum  ini mentadbir Tanah Melayu. Raja Inggeris mempunyai kuasa penuh dan langsung ke atas Tanah Melayu. Pentadbiran Malayan Union diterajui seorang Gabenor, sebuah Majlis Mesyuarat Kerja dan sebuah Majlis Mesyuarat Undangan. Sebelum penubuhan Malayan Union, Tanah Melayu telah dikuasai oleh Parti Komunis Malaya  iaitu  PKM selama 14 hari  selepas kekalahan Jepun pada tahun 1945. Dalam tempoh 14 hari, PKM melakukan keganasan sehingga menimbulkan keadaan huru-hara. PKM bekerjasama dengan tentera Bintang Tiga bagi merampas balai  polis dan pejabat  pentadbiran. PKM turut menjalankan undang-undang sendiri dengan menjatuhkan hukuman terhadap sesiapa yang bersubahat dengan pihak Jepun. Pihak British menubuhkan Pentadbiran Tentera British yang dikenali sebagai PTB  pada September 1945. PTB diketuai oleh seorang Ketua Pegawai Hal Ehwal Awam bernama Sir Ralph Hone. Tujuannya untuk melaksanakan suatu pentadbiran peralihan sebelum sebuah pentadbiran awam diperkenalkan. Antara kejayaan PTB ialah menghapuskan penguasaan Parti Komunis Malaya selama 14 hari di Tanah Melayu serta mengawal dan memberhentikan pergaduhan antara kaum di beberapa tempat di Tanah Melayu. Akhirnya keamanan dan undang-undang dapat ditegakkan di Tanah Melayu. Setelah itu, pihak British melaksanakan pula pentadbiran Malayan Union.  

     Malayan Union ditubuhkan dengan  tujuan untuk membentuk satu bangsa Malayan Union. Secara langsung, British mengharapkan golongan imigran akan menumpukan kesetiaan   kepada Malayan Union. Penubuhan Malayan Union  mampu  mengurangkan  serta  mengawal   kuasa politik orang Melayu yang dipercayai memberikan kerjasama kepada tentera Jepun ketika pemerintahan Jepun. Melalui penubuhan Malayan Union, ia akan menjimatkan perbelanjaan pentadbiran British. Pentadbiran berasingan antara Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu telah menelan perbelanjaan yang besar. Penubuhan Malayan Union menjamin penguasaan British terhadap sumber ekonomi Tanah  Melayu  yang menjadi  pengeluar biji timah dan getah terbesar dunia. Secara tidak langsung, penubuhan ini sebenarnya mengukuhkan  pertahanan British di Tanah Melayu dan Rantau Asia Tenggara. Selain itu, Malayan Union akan mewujudkan satu pentadbiran  yang cekap dan seragam seterusnya  menyediakan Tanah Melayu ke arah berkerajaan sendiri.


     Status Tanah Melayu apabila Malayan  Union ditubuhkan berubah. Pentadbiran    Malayan Union telah mengubah status Tanah Melayu daripada negeri  naungan   Inggeris kepada  Tanah  Jajahan Mahkota.  Negeri   Naungan  merupakan  negeri yang dilindungi  oleh British dan raja-raja Melayu masih menjadi ketua negeri. Tanah Jajahan Mahkota ialah negeri yang diperintah oleh British secara langsung dan berada  di bawah  Parlimen  British.  Malayan  Union juga   mewujudkan satu pentadbiran yang  bersifat kesatuan.  Pembentukan Malayan Union merupakan usaha yang dilakukan oleh pihak British untuk mengukuhkan pengaruh politik dan ekonomi mereka di Tanah Melayu. Secara langsung, Malayan Union merupakan satu bentuk penjajahan secara mutlak oleh pihak British. Tanggal 23  Januari  1946, Dato’ Onn  Ja’afar telah  menulis surat kepada Utusan Melayu menyeru orang Melayu agar mengadakan kongres dan menubuhkan United Malays Organisations sebagai pertubuhan yang menentang  Malayan  Union.  Raja-raja  Melayu seterusnya mengambil tindakan membantah Malayan Union. Sultan Johor telah menghantar surat kepada  Setiausaha  Tanah Jajahan. Raja-raja Melayu sebenarnya dipaksa  menerima gagasan Malayan Union. Orang Melayu juga menyuarakan bantahan secara berterusan melalui akhbar seperti Majlis, Utusan Melayu, dan Warta Negara. Majlis merupakan akhbar yang mula-mula menyeru orang Melayu  menentang rancangan Malayan  Union. Pada 12  Oktober 1945,  Utusan Melayu menyeru supaya raja-raja Melayu memikirkan kesannya jika Malayan Union tidak ditentang.  Selain itu, orang  Melayu  turut mengadakan  demonstrasi  secara  aman   bagi membantah cara Sir Harold MacMicheal memperoleh tandatangan raja-raja Melayu. Beberapa tempat seperti di Alor Star, Kota Bharu, dan  Johor  Bahru diadakan demonstrasi bagi mengecam MacMicheal. Mereka juga membantah Malayan Union yang akan menghapuskan kedaulatan negeri-negeri Melayu dan kedudukan mereka sebagai anak negeri. Penentangan bertambah serius apabila persatuan-persatuan Melayu ditubuhkan atau dihidupkan  semula sebagai alat menentang Malayan Union   secara berorganisasi. Antara persatuan Melayu tersebut ialah Persatuan Melayu Terengganu dan Persatuan Kebangsaan Melayu Selangor. Persatuan-persatuan Melayu  menghantar telegram serta surat bantahan ke Pejabat Tanah Jajahan di London. Persatuan tersebut menolak sama sekali pentadbiran Malayan Union.

0 comments:

Post a Comment

Sila Tinggalkan Nasihat Anda: