Friday, June 18, 2010

Vol. 2) Mengkaji budaya bangsa Melayu dalam konteks citra kebudayaan Melayu, nilai kesopanan dan budi bahasa, budaya ilmu, dan budaya muhibah.


2.0       Masalah Kajian.
Kemerosotan peranan kebudayaan Melayu sebagai asas Kebudayaan Kebangsaan cukup ketara, antaranya berdasarkan beberapa senario yang berikut.
  1. Kebudayaan Melayu Kian Kabur Dalam Institusi Kenegaraan.
Pertama,  Citra kebudayaan Melayu kian kabur dalam institusi kenegaraan. Unsur kebudayaan Melayu kian kurang menonjol dan bahkan terpinggir dalam bidang penyiaran apabila stesen radio dan televisyen, termasuk adakalanya stesen radio dan televisyen kerajaan sendiri, tidak begitu peka akan peranan meningkatkan Kebudayaan Kebangsaan melalui siarannya. Keseluruhan bidang penyiaran di negara ini kini lebih dicirikan oleh kebudayaan asing, terutama dalam rancangan-rancangan hiburannya (misalnya, dalam aspek filem, ciri budaya Bollywood dan Hollywood cukup menonjol, sementara dalam bidang seni muzik amat kuat pengaruh muzik Barat, baik melodi mahupun seni katanya serta penampilan artis-artisnya). Kemanakah hilangnya budaya bangsa Melayu?
Sebilangan anggota masyarakat kita daripada yang muda hingga yang tua (yang jumlahnya tidak kecil) sudah dirasuk oleh hedonisme atau tabiat ketagih hiburan yang melampau dek kerana penyiaran rancangan-rancangan yang tidak sesuai dengan asas Kebudayaan Kebangsaan. Jelas bahawa program televisyen keseluruhannya tidak lagi membayangkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan tiga prinsip, iaitu kebudayaan asal rantau ini (Melayu), unsur-unsur asing yang wajar dan sesuai, dan Islam. Hampir-hampir tiada bedanya siaran stesen televisyen di negara ini dengan yang ada di negara asing kerana masing-masing stesen berlumba-lumba untuk menjadi terpantas dan lebih global.
Keadaan ini diizinkan atas pertimbangan komersial dan ekonomi sehingga kementerian yang bertanggungjawab mengawal bidang penyiaran seakan-akan tidak dapat berbuat apa-apa lagi selain membuat seruan demi seruan. Malahan konflik sering kali terjadi antara dua kementerian yang berkaitan, kerana stesen radio dan televisyen dikawal oleh Kementerian Penerangan manakala stesen radio dan televisyen swasta di bawah kawalan Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia. Kesediaan masyarakat menjadi permisif digambarkan oleh tingkah laku seorang tua berkopiah yang mempromosikan salah satu stesen televisyen dengan ungkapan ”Macam-macam ada!” meskipun yang macam-macam itu cacamarba sifatnya.
Kemudian perhatikanlah pula citra atau imej kota dan bandar serta tempat awam di negara ini yang masih kurang menggambarkan ciri Kebudayaan Kebangsaan, dan masih terlalu dominan ciri kebudayaan asing dan etnik, khususnya dalam aspek bahasa peragaan yang digunakan, baik daripada segi penamaan mahupun pemilihan bahasa peragaan. Adanya undang-undang kecil tentang kuat kuasa penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tampaknya jauh daripada cukup penghayatan dan pelaksanaannya.
            Dalam pada itu, Kebudayaan Kebangsaan seringkali dileburkan konsep dan realisasinya melalui pencampurbauran antara unsur kebudayaan pelbagai etnik sehingga tidak tampak dengan jelas tiga asas yang ditetapkan pada tahun 1971 itu, iaitu kebudayaan Melayu sebagai asas utama. Seringkali pula konsep kebudayaan disempitkan pengertiannya pada seni tertentu, seperti seni tari, seni muzik dan seni nyanyi. Garis panduan persembahan dalam majlis rasmi yang mengutamakan unsur kebudayaan Melayu telah tidak diamalkan lagi apabila tari naga tanpa kesenian Melayu, misalnya, telah naik tarafnya menjadi acara sambutan rasmi majlis tertentu yang dihadiri oleh pembesar negara.
Dalam kunjungan Dewan Bahasa dan Pustaka ke Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (kini Kementerian Perpaduan, Kebudayaan dan Warisan) pada sekitar tahun 2000, pegawai-pegawai kanan kementerian berkenaan dengan nada sesal menekankan bahawa sebenarnya telah ada garis panduan pelaksanaan Kebudayaan Kebangsaan dalam majlis dan acara rasmi negara. Tampaknya garis panduan demi garis panduan telah tidak berperanan memandu kebanyakan pihak berkuasa lagi!

0 comments:

Post a Comment

Sila Tinggalkan Nasihat Anda: