Friday, June 18, 2010

Vol.3) Mengkaji budaya bangsa Melayu dalam konteks citra kebudayaan Melayu, nilai kesopanan dan budi bahasa, budaya ilmu, dan budaya muhibah.

II. Nilai Kesopanan dan Budi Bahasa.

Aspek kedua dalam kebudayaan yang kini menjadi isu ialah nilai kesopanan dan budi bahasa yang sudah kian ketara lunturnya, bukan sahaja dalam kalangan generasi mudah bahkan dalam generasi dewasa juga, termasuk dalam percaturan politik. Tindakan mengaibkan lawan politik atau saingan kerjaya, fitnah, surat layang, e.mel dan sms layang serta gaya pengungkapan dalam media sudah banyak yang bertentangan dengan nilai kesopanan dan budi bahasa yang terkandung dalam Kebudayaan Kebangsaan, terutama jika disandarkan pada asas yang ketiga, iaitu Islam sebagai terasnya.
Malahan Parlimen yang menjadi tempat wakil rakyat merancang dan menggubal undang-undang negara pun tidak terkecuali daripada mengalami fenomena keruntuhan budi bahasa dan kesopanan apabila bahasa yang kesat, bernada ejekan, nistaan dan yang seumpamnya telah menjadi mainan sebilangan wakil rakyat.



III. Budaya Ilmu Teras Kebudayaan Melayu dan Islam.

Selanjutnya yang ketiga ialah, budaya ilmu yang menjadi teras kebudayaan Melayu dan Islam, dalam beberapa banyak kes telah digeser oleh pertimbangan kuasa dan kepentingan lain seperti kepentingan ekonomi dan pembangunan fizikal. Penghormatan dan penghargaan kepada ahli dan institusi ilmu seringkali menjadi kabur dalam pelbagai bentuk, daripada penghargaan yang berlebih-lebihan kepada kalangan bukan ilmuwan sehingga kepada pencabulan wibawa keilmuan ahli ilmu dalam bentuk tindakan seperti tidak merujuk kepada ahli ilmu atau pakar dalam bidang tertentu dan juga ‘penyingkiran’ ahli ilmu. Apabila ahli ilmu dinafikan dalam penentuan dasar tertentu, maka seringkali terjadilah keadaan “sesat sehingga hujung jalan” dan porak-perandalah negara. Amaran Allah dalam al-Qur`an tentang bahaya kehancuran yang berpunca daripada tidak merujuk kepada ahli ilmu tampaknya tidak menimbulkan rasa gerun dan keinsafan yang nyata dalam kalangan sejumlah pemimpin.


IV. Budaya Muhibah dan Kasih Sayang.

Dalam konteks yang terakhir iaitu budaya muhibah dan kasih sayang, semangat dan tindak-tanduk yang memperlihatkan kesetiakawanan dan kekelompokan sempit kian ketara, terutama dalam bidang politik, baik antara parti dengan parti mahupun antara anggota dalam satu parti, sehingga tidak jarang berlaku keadaan bahawa kebenaran tidak diukur berdasarkan sistem nilai yang diiktiraf, misalnya berdasarkan undang-undang dan peraturan, tetapi berdasarkan seseorang itu di dalam atau di luar kelompok. Keputusan dan tindakan sebahagiannya dilaksanakan tidak berdasarkan lunas keadilan dan kebenaran tetapi berdasarkan sentimen kekelompokan. Sebagai contoh, apabila ada saran agar orang yang terlibat dengan rasuah dalam kegiatan kepartian (yang dilunakkkan dengan istilah politik wang) dilaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah untuk dibawa ke muka pengadilan, maka ada pendapat yang mengatakan bahawa rasuah dalam parti merupakan urusan parti dan harus diselesaikan dalam parti, seolah-olah parti mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada undang-undang negara dan agama.

0 comments:

Post a Comment

Sila Tinggalkan Nasihat Anda: