Friday, June 18, 2010

Vol.4) Mengkaji budaya bangsa Melayu dalam konteks citra kebudayaan Melayu, nilai kesopanan dan budi bahasa, budaya ilmu, dan budaya muhibah.

3.0       Kewajaran Kajian.
  1. Bahasa Melayu Sebagai Budaya Melayu.
Bahasa Melayu ialah Budaya Bangsa Melayu yang mana bahasa kebangsaan yang mesti diperoleh dengan sebaiknya oleh semua lapisan masyarakat demi keutuhan dan kesatuan bangsa dan negara. Bangsa Melayu seharusnya berbangga kerana bahasa Melayu ialah bahasa penghantar di Malaysia.
Bahasa kebangsaan telah membuktikan keupayaannya untuk menjadi perantaraan pendidikan dan pencapaian segala bidang keilmuan serta kemahiran setingginya, bagi semua lapisan masyarakat. Budaya bangsa Melayu ialah bertutur bahasa Melayu yang dituturkan sama ada di rumah, di tempat kerja mahupun tempat awam.
Permerolehan bahasa-bahasa lain adalah kemahiran tambahan yang wajar bagi meningkatkan keupayaan bangsa, mendalami sumber keilmuan dan meluaskan hubungan di serata dunia antarabangsa. Namun, untungnya bangsa Melau ini ialah dengan kelebihan budaya bertutur bahasa ibonda yang mana menjadi teras pembangunan Kebudayaan Bangsa Melayu dalam aspek Budaya Bangsa Melayu Bertutur.
Dasar bahasa dalam pendidikan mestilah dikembalikan kepada dasar yang berkuat-kuasa sebelum 2003 sebagai bahasa pengantar diseluruh sistem pendidikan dari tahap rendah kepada tahap universiti.
Kesusasteraan adalah wahana kemanusiaan yang berbudi tinggi demi pembinaan bangsa yang beradab dan berhemah tinggi serta berjiwa besar oleh itu mata pelajaran Kesusasteraan Melayu mestilah dijadikan mata pelajaran teras dan wajib dalam semua lapisan pendidikan Negara.
Itulah yang dikatakan dalam bahasa itu adanya budaya, jati diri dan ilmu. Dan jati diri dalam bahasa itu membentuk kekuatan. Dengan kekuatan itu sehingga ke hari ini identiti bangsa kita dapat dikekalkan.
Tamadun bangsa perlu dibangunkan atas acuan dan jati diri sendiri sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh semua sejarah tamadun besar dunia atau tamadun bangsa yang besar seperti tamadun Yunani, Cina, India, Arab, Eropah dan lain-lain. Sama juga halnya dengan tamadun Melayu. Kita bangsa yang kuat kerana kita mengembangkan bahasa kita sebagai bahasa perdagangan, bahasa politik dan bahasa ilmu sehingga dijadikan sebagai lingua franca.
Dalam bahasa itu juga terkandungnya nilai-nilai, norma-norma, proses-proses, pengalaman-pengalaman yang membentuk jati diri sesebuah bangsa. Kita sebenarnya dapat belajar nilai-nilai budaya bangsa sendiri secara tidak langsung hanya dengan bertutur dalam bahasa Melayu. Sama juga Cina dan India di Malaysia, mereka memahami dan menghormati budaya Melayu kerana mereka faham dan bercakap dalam bahasa Melayu.
Kesenian adalah pengucapan dan daya cipta mulia dan tinggi bagi setiap individu dan seluruh bangsa demi pemertabatan maruah dan hemah pada tahap antarabangsa, maka pembinaan dan kemajuan seni mestilah selaras dengan landasan kebudayaan kebangsaan serta dari kekayaan sumbernya di seluruh Alam Melayu dan warisan kemanusiaan global.

  1. Peranan Media Dalam Memelihara Budaya Melayu.
Seterusnya ialah peranan media. Semua bentuk dan pemilikan media mesti memainkan peranan utama sebagai wahana peneguhan teras nasional, kesadaran nasional, keutuhan bangsa dan negara serta kepentingan dan perpaduan nasional dan juga pemikiran bangsa .
Media mesti berperanan sebagai saluran dan wahana maklumat, pendidikan serta hiburan yang terkawal tanpa terlalu terlibat dengan budaya hedonisme, kekerasan dan takberakhlak. Media juga menjadi saluran paling berkesan antara kelompok-kelompok masyarakat, seluruh negara, serantau dan antarabangsa maka ia menjadi wahana pengembling perpaduan serta kesatuan bangsa.
Maka kami mendesak penyelarasan media mesti dilakukan untuk mencapai kesejahteraan dan perpaduan bangsa. Filem adalah media amat berkesan dalam menyampaikan pelbagai gagasan dan tindakan terutama berkaitan kebudayaan, maka kami mendesak supaya filem digunakan sepenuh untuk meneguhkan jati diri bangsa dan menyaring keselamatan bangsa dan Negara.
 
  1. Pantun Sebagai Budaya Bangsa Melayu.
Pantun  adalah genre kesusasteraan tradisional Melayu yang berkembang di seluruh dunia khususnya di Nusantara sejak ratusan tahun lampau. Pantun adalah simbol artistik masyarakat Nusantara dan ia adalah lambang kebijaksanaan berfikir. Pantun sering dijadikan sebagai alat komunikasi. Pantun bersifat ringkas, romantik dan mampu mengetengahkan aspirasi masyarakat dengan lebih jelas. Ia begitu sinonim dengan pemikiran dan kebudayaan masyarakat nusantara dan Malaysia.
Di Nusantara, pantun wujud dalam 39 dialek Melayu dan 25 bukan dialek. Pantun juga didapati turut berkembang di selatan Burma, Kepulauan Cocos, Sri Lanka, Kemboja, Vietnam serta Afrika Selatan kerana pengaruh imigran dari Indonesia dan Malaysia.
Pantun di Malaysia dan Indonesia telah ditulis sekitar empat abad lalu. Malah, ia mungkin berusia lebih tua daripada itu seperti tertulis dalam Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu. Seharusnya semua bangsa  Melayu memartabatkan pantun kerana pantun merupakan salah satu budaya bangsa Melayu di samping memastikan generasi akan datang mengenali pantun sebagai seni tradisional Melayu yang unik. Menurut Ketua Bahagian Kesusasteraan Tradisional Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Rogayah A. Hamid, pantun merupakan satu-satunya hak milik kekal bangsa Melayu yang tidak tercemar dalam pertembungan masyarakat dunia.
Oleh itu, kata beliau, usaha mengekalkan semula pantun terutama pada majlis-majlis tertentu haruslah dipelihara supaya kesenian itu dapat dikembalikan dalam kehidupan Melayu sarwajagat. Disebelah merupakan contoh serangkap pantun.

Jeling-jeling paku,
Paku masak lemak;
Siapa jeling aku
Aku cakap pada emak.
Contoh diatas melambangkan orang Melayu mempunyai kebijaksanaan yang tinggi dalam mengeksploitasi dan memanipulasi hal percintaan dan kasih sayang. Selain itu, kebijaksanaan orang Melayu menjadikan pantun sebagai alat komunikasi dalam beberapa upacara penting seperti upacara merisik, meminang dan adat istiadat perkahwinan, pembuka bicara dalam adat istiadat diraja juga telah memberi gambaran orang Melayu sebagai satu bangsa yang unik.
Selain digunakan untuk berkomunikasi dalam beberapa adat istiadat, pantun juga dijadikan sebagai lirik dalam lagu-lagu Melayu lama seperti lagu Melayu asli, keroncong, dondang sayang, zapin, ghazal, canggung, beduan, seloka rakyat, bongai, belotah, barongan, tumbuk kalang, gendang Sarawak dan sebagainya. Contohnya:
Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.
Sehubungan itu, secara jelas pantun dapat memperlihatkan kesopanan Melayu kerana percakapan dalam pantun sentiasa beralas, suka berkias ibarat kerana sikap tolak ansur yang tinggi dan merendah diri.

0 comments:

Post a Comment

Sila Tinggalkan Nasihat Anda: