Wednesday, April 7, 2010

Globalisasi Dunia

Globalisasi merupakan paradigma baru bagi setiap negara atau bangsa di dunia ini. Konsep globalisasi yang berkembang pada tahun 1985 amat menarik untuk di analisa walaupun selama ini konsep tersebut hanya digunakan untuk kajian ekonomi dan politik sahaja.

Konsep globalisai digagas oleh seorang pemikir sosiologi-agama Roland Roberston berdasarkan penyelidikan kajian perpustakaan yang telah dilakukan. Konsep globalisasi menjelaskan dua pokok persoalan iaitu ‘pemampatan dunia dan intensifikasi’ terhadap kesedaran manusia mengenai dunia ini sebagai satu keseluruhan (Roberston, 1992).

Global menurut kamus dewan bermaksud dunia seluruhnya. Manakala takrif bagi globalisasi ialah fenomena yang menjadikan dunia mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Oleh itu, globalisasi membawa maksud menjadi atau menuju ke arah kesejagatan. Fenomena globalisasi ini berlaku di seluruh dunia dan memberi kesan kepada semua negara dalam pebagai aspek kehidupan manusia sama ada ekonomi, politik, budaya dan pendidikan.

Aliran globalisasi ini sebenarnya telah wujud sejak selepas perang Dunia Kedua dan ianya menjadi lebih ketara apabila runtuhnya kerajaan komunis Soviet pada tahun 1989. Pembahagian dunia kepada Dunia Pertama iaitu negara demokrasi bebas, Dunia Kedua iaitu negara sosialis dan Dunia Ketiga iaitu negara membangun sudah tidak terpakai lagi.

Dunia menjadi unipolar dan semua negara berusaha untuk menjadi Dunia Pertama (Shahrin Awaludin Kamarulzaman, 2005). Proses globalisasi dianggap sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan sesiapa yang tidak turut serta akan ketinggalan.

Tuntasnya, globalisasi secara sederhana dapat didefinisikan sebagai peruntuhan pagar-pagar yang memisahkan antara negara sehingga dengan itu mudah berlaku pertukaran,pemindahan dan perkongsian dalam pelbagai lapangan seperti ilmu, pemikiran, ekonomi, kebudayaan, dan agama.

0 comments:

Post a Comment

Sila Tinggalkan Nasihat Anda: