Wednesday, April 7, 2010

Stress Can Cause Abnormal Behaviour Vol. 3

Manusia yang mengalami tekanan stress secara automatik akan terjerumus kepada konflik. Konflik adalah punca biasa bagi individu yang mengalami stress. Apabila seseorang individu berhadapan dengan konflik, mereka akan mengalami satu situasi kehendak atau keperluan dalam keadaan tidak seimbang. Terdapat tiga jenis konflik. Konflik yang pertama dikenali sebagai Approach-approach Conflict. Ini bermaksud, individu yang mengalami konflik ini biasanya memerlukan seseorang itu membuat keputusan untuk memilih satu pilihan diantara dua pilihan yang disukainya. Contohnya seperti apabila seseorang perlu memilih sama ada untuk keluar temu janji ataupun pergi membeli- belah bersama keluarga. Konflik yang kedua dikenali sebagai Avoidance-avoidance Conflict yang memerlukan seseorang individu itu membuat pilihan terhadap dua perkara yang tidak disukainya. Manakala konflik yang ketiga adalah Approach-Avoidance conflict. Konflik ini berkehendakkan seseorang itu untuk membuat pilihan diantara perkara yang disukainya dengan perkara yang dibencinya. Bak kata pepatah Melayu, ditelan mati mak, diluah mati bapa. Sebagai contoh seperti yang telah banyak berlaku kepada golongan perempuan remaja masa kini yang harus membuat keputusan sama ada untuk melanjutkan pelajaran ataupun menamatkan zaman bujangnya dengan berkahwin mengikut pilihan ibu bapanya.

Konflik akan menyebabkan beberapa gangguan dan tekanan sama ada gangguan kecil dan gangguan besar. Gangguan kecil seringkali dilihat seperti seseorang yang mengalami situasi dimana mereka perlu menyiapkan sesuatu kerja dalam masa yang singkat. Gangguan-gangguan besar pula adalah masalah yang melibatkan perubahan dalam kehidupan seperti perkahwinan, ataupun kematian. Selain itu, kehilangan atau diberhentikan kerja merupakan tekanan yang paling besar kepada individu itu untuk dihadapinya.

Punca-punca stress yang paling utama adalah menganggur, putus cinta atau penolakan perasaan daripada orang yang disayangi, dan sebagainya. Kematian dan kemusnahan alam seperti tsunami, tanah runtuh, banjir kilat dan lain-lain turut menjadi punca-punca stress yang paling utama. Antara langkah dalam mengatasi stress adalah dengan kaedah confrontation, iaitu berhadapan dengan situasi tersebut walau sesulit mana sekalipun. Dua cara dalam berhadapan dengan situasi tersebut adalah secara agresif atau menyelesaikannya melalui perbincangan. Cara yang seterusnya adalah dengan cara compromise atau dalam erti kata lain iaitu berkompromi. Ini merupakan cara yang paling efektif dan seringkali dilakukan bagi menyelesaikan sesuatu permasalahan yang timbul. Manakala cara yang terakhir adalah dengan kaedah withdrawer iaitu menyerah diri atau menarik diri daripada berhadapan dengan masalah tersebut. Langkah- langkah ini boleh diguna pakai sekiranya seseorang indvidu itu mengalami stress dan tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengannya.

Seperti yang kita dapat lihat di dalam filem trauma arahan Aziz M.Osman tingkah laku luar biasa dapat dilihat menerusi lakonan Nurul oleh Amy Mastura yang menunjukkan dia tidak dapat mengawal perasaannya ketika terlampau marah. Nurul bertindak secara tidak rasional dengan memecahkan cermin hadapan kereta kepunyaan Jeslina hanya kerana untuk melepaskan rasa marahnya kepada Jeslina. Tindakan Nurul ini merupakan satu tindakan abnormal yang disebabkan wujudnya psikologi dalaman. Oleh itu, seseorang yang mengalami tingkah laku abnormal biasanya tidak dapat mengawal perasaannya, kerap cemas, kurang memahami diri, tidak beriman, mentah dalam pemikiran dan sering takut kepada sesuatu cabaran.

Kesan daripada tindakan Nurul ini telah menyebabkan dia dihantar ke hospital sakit jiwa oleh Huzir dan Jeslina untuk tinggal di sana bagi menjalani rawatan terapi dengan trauma ynag dialaminya. Apabila bersendirian, Nurul memikirkan tentang dirinya yang selama ini tidak pernah gila sepertimana yang pernah dikatakan oleh sesiapa yang berada di sekelilingnya. Nurul mula menyedari segala penyebab penyakit yang dihadapinya adalah disebabkan oleh tindakan Jeslina. Hal ini membuktikan bahawa Nurul sedang menghadapi konflik dalaman yang menyebabkan berlakunya stress terhadap dirinya sehingga timbulnya tingkah laku luar biasa.

Jelas dan nyata di dalam filem ini memaparkan hubung kait yang rapat di antara stress dengan tingkah laku luar biasa atau abnormal behaviour. Tindakan yang diluar jangkaan dan kebiasaan masyarakat lain sedikit sebanyak dipengaruhi oleh tekanan yang dilalui oleh individu tersebut. Stress yang tidak dapat ditangani dengan baik akan menimbulkan tindak balas yang negatif iaitu abnormal behaviour.

Selanjutnya, filem potret mistik ada memaparkan adegan tingkah laku yang luar biasa. Melalui filem ini, perubahan psikologi Latifah sehingga menjadi hilang akal adalah kerana disebabkan pembunuhan Kartini yang dilihatnya sendiri. Akibat melihat peristiwa tragis tersebut, Latifah merasa sedih dan kasihan terhadap keadaan yang menimpa Kartini. Bagi perasaannya terhadap Amar pula adalah, perasaan marah dan dendam sehingga dia bertindak mahu membunuh Amar. Di dalam keadaan ini, Latifah dikatakan menghadapi konflik dalaman, seperti rasa tertekan dan marah yang menyebabkan dia menjadi hilang pertimbangan dan akal serta kewarasan. Latifah terlalu mengikut perasaan mazmumahnya itu iaitu rasa marah, sedih dan dendam. Sewaktu di dalam keadaan hilang akal tersebut, Latifah secara tidak sedar telah melakukan pelbagai perkara di luar kawalan yang mana ia merupakan kesan pengalaman yang baru dilaluinya.

Hal ini membuktikan bahawa stress mempengaruhi tindakan luar biasa seseorang dengan wujudnya konflik-konflik di sekeliling mereka. Kewujudan konflik-konflik sama ada kecil mahupun besar ini menjadi penyebab berlakunya stress sekaligus menjadi punca kepada tindakan luar biasa. Stress yang berpunca daripada trauma, fobia dan faktor-faktor di sekeliling menjadikan seseorang individu itu berada di satu tahap pemikiran yang sempit dan susah untuk keluar dari kotak pemikiran tersebut. Gangguan-gangguan inilah yang lama-lama menimbulkan perasaan marah, dendam, benci dan sedih lantas mereka menterjemahkan rasa tekanan tersebut melalui tindakan dan perlakuan yang di luar norma-norma masyarakat seperti membunuh, memecahkan cermin kenderaan, bercakap dengan tumbuh-tumbuhan, mahupun menjerit di khalayak ramai.

0 comments:

Post a Comment

Sila Tinggalkan Nasihat Anda: