Wednesday, April 7, 2010

Kesan Globalisasi terhadap Industri Muzik Malaysia Vol. 1

Industri ditakrifkan sabagai suatu usaha atau kegiatan pengolahan bahan mentah menjadi barang setengah jadi, barang jadi yang memiliki nilai tambah untuk mendapatkan keuntungan (Ishak Mad Shah, 2004). Istilah Industri Kreatif pula diperkenalkan pada awal tahun 1990an oleh Partai Buruh di Australia sebagai bentuk baru bagi penciptaan lapangan kerja. Gagasan mengenai industri kreatif ini kemudian dikembangkan lebih lanjut oleh Inggeris sehingga akhirnya Perdana Menteri Tony Blair pada tahun 1997 membentuk sebuah kumpulan Industri kreatif Inggeris . Industri kreatif merupakan satu bahagian yang luas yang meliputi 14 sektor industri termasuk muzik.

Muzik ialah bunyi yang diterima oleh individu dan berbeza bergantung kepada sejarah, lokasi, budaya, dan citarasa seseorang. Pada amnya, muzik adalah diakui sebagai satu cabang seni dan juga sains yang menggabungkan bunyi-bunyi vokal dan instrumental termasuk bunyi-bunyi semula jadi dari persekitaran atau rekaan dengan satu cara yang di anggap memuaskan mengikut estetika, corak pemikiran, dan emosi manusia yang juga mencerminkan sesuatu budaya tertentu (Zulkiply Yaakob, 2007). Muzik ialah satu perkataan yang telah diwarisi daripada cerita-cerita dongeng zaman purba Yunani diberi nama sebagai ‘Muses’ yang bermaksud semua bentuk seni halus termasuk muzik. Tetapi pada hari ini, perkataan muzik membawa maksud seni bunyi-bunyian.

Objektif kajian ini adalah untuk mengkaji kesan globalisasi terhadap ekonomi, teknologi, budaya, dan evolusi terhadap industri muzik di Malaysia. Proses integrasi antara negara dan masyarakat di seluruh dunia yang diertikan sebagai globalisasi memberikan pelbagai impak positif mahupun negatif. Kajian yang dilakukan telah menemukan tiga kesan negatif akibat globalisasi terhadap industri muzik di Malaysia iaitu dari segi ekonomi, kebudayaan, serta teknologi maklumat dan satu kesan positif iaitu evolusi muzik.

Kupasan yang pertama dari segi ekonomi. Ekonomi membawa maksud segala ilmu yang berkaitan asas-asas pengeluaran, pembahagian penggunaan barang-barang dan perkhidmatan serta masalah kemasyarakatan, buruh dan kewangan serta urusan yang berkaitan dengan harta benda merupakan salah satu cabang besar bagi kesan globalisasi terhadap industri muzik (Greene, 1999). Impak negatif dari globalisasi ekonomi ialah berlakunya perkembangan sistem perdagangan luar negeri yang lebih bebas. Perkembangan ini menyebabkan negara-negara berkembang tidak dapat lagi menggunakan takrif yang tinggi untuk memberikan proteksi kepada industri yang baru berkembang seperti industri muzik. Perkembangan inilah yang menimbulkan hambatan kepada negara berkembang untuk memajukan sektor industri muzik dengan lebih cepat.

Sumber pendapatan yang boleh diperolehi melalui industri muzik terbahagi kepada dua iaitu industri teras dan industri sokongan (Mohd Razani, Fauzi Hussin, Siti Hadijah, 2003). Perbandingan mengenai syarikat dan pertubuhan yang terlibat di dalam industri muzik di antara tahun 1997 sehingga 2004 telah dilakukan dan apa yang boleh dirumuskan bilangan pertubuhan agen, penganjur konsert, penasihat dan penerbit adalah berkurangan dan ini disebabkan oleh faktor globalisasi yang berlaku iaitu berlakunya kegiatan cetak rompak yang berleluasa dan persaingan kemasukan lagu-lagu serta penyanyi dari negara luar.

Kehadiran penyanyi dari luar dikatakan menjadi punca kemerosotan penjualan album dan menyaksikan penurunan royalti persembahan awam artis tempatan. Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Datuk M Daud Wahid berkata, penyanyi tempatan perlu menerima hakikat industri muzik tanah air berada dalam keadaan genting ketika ini. Dalam jangka panjang pertumbuhan yang seperti ini akan melambatkan pertumbuhan ekonomi industri muzik (Ramlah Zainal, 2008).

Selain itu, stesen radio turut memberikan kesan globalisasi terhadap industri muzik dalam bidang ekonomi. Stesen radio yang acap kali memutarkan lagu-lagu dari luar dan bukan tempatan telah menyebabkan penurunan kutipan jualan vcd dan royalti dek kerana lagu-lagu luar yang masuk menjadi majoriti dalam industri muzik. Secara tidak langsung, hal ini menjejaskan ekonomi industri muzik. Kesan lain yang turut mempengaruhi ekonomi industri muzik ialah syarikat terpaksa memotong bajet untuk program hiburan dalam aktiviti tahunan mereka. Hal ini akan menjadi lebih teruk seandainya syarikat memotong separuh dari harga asal yang ditetapkan penyanyi untuk menjayakan persembahan mereka. Akibat daripada kemasukan lagu dan penyanyi luar, ekonomi industri negara semakin meruncing gawatnya.

0 comments:

Post a Comment

Sila Tinggalkan Nasihat Anda: